Adab hadiri jemputan rumah terbuka

ADAB menjamu selera di meja makan juga penting walaupun menghadiri rumah terbuka yang diadakan secara ringkas.
Faizal Zain

Salam deko. Nampaknya kita sudah tiba pada minggu terakhir Syawal. Pastinya masih ramai dalam kalangan kita mengambil peluang mengadakan rumah terbuka atau menghadiri jemputan rumah terbuka jiran tetangga atau rakan taulan. Antara yang saya perkatakan minggu lalu adalah mengenai adab. Ia seperti duduk di ruang yang disediakan tuan rumah, jangan sentuh atau alihkan barang hiasan dan tidak menyepahkan suasana ruang tamu.


Jangan tutup atau hidupkan suiz lampu tanpa kebenaran

Apabila ke rumah terbuka atau jamuan hari raya, ada kalanya kita terlupa akan disiplin diri. Namun disiplin diri mencerminkan keperibadian kita.

Cuba sesekali jangan usik, menutup atau menghidupkan suiz lampu pada kediaman yang anda kunjungi.

Tidak kiralah sama ada suasana kediaman itu gelap atau terlalu terang hingga membuatkan anda segera mencari punca suis untuk menutup atau membuka lampu.

Tahukah anda proses menutup atau membuka suis lampu ada kalanya membuatkan mentol terbakar dan pecah tanpa sebab.

Kini ramai yang gemar menggunakan mentol jimat tenaga atau jenis LED yang harganya jauh lebih mahal daripada mentol biasa.

Bayangkan saat anda menutup atau membuka suis itu, salah satu mentolnya terbakar atau meletup.

Ini pasti mengundang rasa tidak selesa tuan rumah. Maka ada baiknya anda meminta izin atau lebih baik meminta bantuan tuan rumah sendiri untuk menutup atau menghidupkan suiz lampu itu.


Pesta tisu

Kebiasaannya di rumah terbuka, tuan rumah menyediakan tisu untuk kemudahan tetamu.

Sudah menjadi kebiasaan kita menggunakan tisu dalam jumlah yang banyak dan tidak keterlaluan ada yang gemar menyepahkan tisu terpakai dengan meletakkannya sesuka hati.

Hingga keadaan ruang tamu atau ruang makan seolah-olah ‘pesta’ tisu.

Tahukah anda hari ini tisu antara elemen dekorasi. Terdapat tisu tebal yang berwarna dan bercorak digunakan untuk mengindahkan sentuhan dekorasi meja.

Harganya juga agak mahal di pasaran. Jadi jika tuan rumah menyediakan tisu sedemikian bukanlah bermaksud anda boleh menggunakannya sesuka hati.

Sebaliknya gunalah dengan berhemah dan cukup sekadar sehelai tisu untuk seorang tetamu pada satu-satu masa atau mengikut keperluan.


Rajin tak bertempat

Selesai saja menjamu selera di meja makan, jangan terus melulu membawa cawan dan pinggan anda ke dapur untuk segera dicuci.

Sebaliknya minta izin tuan rumah terlebih dulu jika anda berniat baik untuk mencucinya.

Jika jawapan dari tuan rumah adalah ‘tak perlu’ maka itu yang dimaksudkannya.

Jadi tanya saja di mana pinggan dan cawan yang sudah digunakan itu perlu diletakkan.

Selalunya tuan rumah akan menyediakan tempat meletak pinggan mangkuk yang digunakan.

Jangan sesekali terlalu rajin dan terus juga mencuci pinggan mangkuk yang anda gunakan.

Dikhuatiri ketika mencuci, pinggan atau cawan itu pecah atau retak.

© New Straits Times Press (M) Bhd