Rumah terbuka bajet

Redzuan Muharam

gen.y@hmetro.com.my

Menganjurkan rumah terbuka adalah impian kebanyakan individu namun ada yang terpaksa melupakan hasrat itu kerana kekangan wang.

Ia kerana banyak perkara perlu diambil kira antaranya jumlah jemputan, menu dan kuantiti makanan yang perlu disediakan untuk tetamu.

Mereka yang berkeluarga mungkin tiada masalah kerana boleh berkongsi wang namun bagaimana golongan bujang dengan bajet ‘ciput’?

Jangan pening kerana Gen Y ada lima tip untuk golongan bujang yang berhajat mengadakan rumah terbuka bajet sempena Aidilfitri ini .


1. Terhadkan jemputan

Anda boleh merealisasikan hasrat menganjurkan rumah terbuka dengan syarat hadkan jemputan.

Jadi, undang rakan terdekat, jiran atau saudara-mara rapat saja sesuai dengan bajet anda yang minimum.

Walaupun tidak ramai, sekurang-kurangnya anda dapat menjamu mereka yang rapat dengan juadah di rumah.


2. Masak sendiri

Kos tempahan makanan dengan katering mungkin agak tinggi jadi apa kata anda berjimat dengan memasak sendiri juadah yang mahu dihidangkan kepada tetamu?

Inilah masanya untuk mempamerkan bakat memasak dan memberi peluang tetamu merasai air tangan anda.

Sekurang-kurangnya, duit itu boleh digunakan untuk membeli keperluan lain.


3. Pilih menu tertentu

Tidak salah jika mahu membuat tempahan tetapi sebaik-baiknya, beli juadah yang sukar disediakan saja.

Selebihnya, masak sendiri kerana ia lebih jimat lagipun jumlah tetamu anda tidak ramai.

Ini penting supaya anda tidak membazir!


4. Elak makanan berlebihan

Sekalipun memasak, pastikan kuantitinya tidak berlebihan kerana bimbang berlaku pembaziran.

Ingat tujuan asal anda iaitu menjamu tetamu dan bukannya menunjuk-nunjuk.

Biar cukup jangan tak habis!


5. Kongsi dengan rakan

Daripada menganjurkan sendiri, ada baiknya jika anda berkongsi duit dengan rakan serumah mengadakan rumah terbuka.

Bukan saja jimat malah ia lebih meriah kerana anda juga dapat berkenalan dengan kenalan rakan serumah.

Inilah masanya untuk anda menjalin ukhuwah.

© New Straits Times Press (M) Bhd