Kunjung-mengunjungi erat silaturahim

Khuzama Ab Rahaman dan Farah Adibah Mohd Apandi

​Kedatangan Syawal memberikan kegembiraan kepada umat Islam di seluruh dunia. Inilah hari yang Allah SWT perintahkan kepada hamba-Nya untuk diraikan dengan penuh rasa syukur dan gembira.

Setiap individu perlu merebut peluang mencipta kegembiraan untuk diri sendiri dan orang di sekeliling mereka agar tidak bersedih malah meninggalkan perkara yang boleh mengundang duka.

Namun, kegembiraan itu mestilah dizahirkan mengikut acuan syariat Islam. Sebagaimana diceritakan dalam satu hadis diriwayatkan Saidatina Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Abu Bakar, setiap kaum mempunyai hari perayaan (hari untuk bergembira) dan hari ini (Aidulfitri) adalah hari perayaan untuk kita.” (Hadis riwayat Muslim)

Sambutlah Aidilfitri secara berpada-pada, memadai berasa gembira sebagai lambang ‘terima kasih’ kepada Allah SWT kerana diberi kesempatan, peluang mendapat keampunan serta fokus beribadat sepanjang bulan Ramadan.

Di Malaysia, sambutan Syawal lazimnya berlangsung selama sebulan. Ketika inilah umat Islam mengambil peluang berkunjung dan menziarahi antara satu sama lain bagi merapatkan kembali ikatan ukhuwah.

Ada juga mengambil peluang mengadakan kenduri keluarga dan majlis perjumpaan untuk menjadikan sambutan Aidilfitri lebih bermakna.

Amalan ziarah sangat dituntut untuk diamalkan pada hari perayaan juga sebaiknya dilakukan pada bila-bila masa.

Ia bukan sekadar terhad kepada menziarahi kaum keluarga malah jiran tetangga, sahabat atau sesiapa juga kenalan.

Tujuan kunjung- mengunjungi untuk merapatkan silaturahim dan saling bermaafan. Islam meletakkan syarat dan adab yang perlu diamalkan ketika seseorang berhasrat untuk menziarah jiran atau sanak-saudara.

Panduan daripada al-Quran dan sunah seharusnya menjadi pedoman dan ikutan dalam meraikan sambutan Adilfitri yang masih lagi diraikan kini.

Sebagai tuan rumah, kita dianjurkan untuk sentiasa bersedia menerima kunjungan tetamu kerana tetamu yang datang membawa rahmat dan keberkatan.

Walau bagaimanapun, tetamu juga perlu menjaga adab ketika berziarah. Patuh dan pilihlah waktu sesuai untuk berkunjung, tidak makan berlebihan serta tidak menyinggung hati tuan rumah melalui tingkah laku atau kata- kata diucapkan.

Lazimnya, bermula 1 Syawal, undangan majlis sambutan hari raya bersilih ganti sehingga kita perlu merancang bila dapat melaksanakan amalan puasa sunat Syawal di samping menghadiri majlis rumah terbuka.

Puasa sunat Syawal adalah sambungan amalan puasa Ramadan. Pelaksanaannya hanyalah selama enam hari saja.

Umat Islam digalakkan berpuasa enam Syawal kerana ia adalah satu pakej terbaik kurniaan Allah. Berpuasa enam hari pada bulan Syawal seolah-olah kita berpuasa selama setahun.

Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Imam Bukhari yang bermaksud: “Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadan, lalu diiringi dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka dia seperti puasa sepanjang tahun.”

Bagi mereka yang berpuasa sunat enam Syawal bukanlah menjadi halangan untuk saling menziarahi kerana objektif utama berziarah pada hari raya bukanlah semata-mata menikmati jamuan dan juadah.

Paling utama adalah persaudaraan yang selama ini renggang kembali rapat, yang bersengketa menjadi damai dan yang jauh dapat didekatkan.

Islam sangat menggalakkan umatnya berusaha memperbaiki dan mempertingkatkan hubungan silaturahim.

Sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.”

​ Walau bagaimanapun, demi menjaga hati tuan rumah seseorang itu boleh memilih untuk terus berpuasa atau berbuka bagi puasanya seperti sabda Rasulullah diriwayatkan Imam Muslim yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kalian dijemput, hendaklah dia memenuhi jemputan itu. Jika dia berpuasa, hendaklah dia berdoa, jika dia tidak berpuasa, hendaklah dia makan.”

Golongan wanita sebaiknya merebut peluang berpuasa enam Syawal dan pada masa sama dapat segera menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadaan.

Menangguhkan qada puasa memungkinkan mereka terlewat dan terlepas daripada keistimewaan Syawal atau lupa bilangan hari yang wajib diganti.

Penulis daripada Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Berhad

© New Straits Times Press (M) Bhd