Apabila mercun Pop Pop pun hendak diharamkan

MERCUN Pop-Pop.
Ahmad Salim Bachok

Selasa lalu, iaitu pada hari raya ketiga, sebaik selepas melepasi pondok pemeriksaan imigresen republik Singapura di Woodlands, saya terpandang paparan pemberitahuan elektronik yang sudah tentu ditujukan kepada semua pemandu dan penumpang kenderaan yang hendak meninggalkan negara itu untuk ke Johor Bahru.

Pemberitahuan atau notis di dalam bahasa Inggeris yang diletakkan tinggi di atas laluan kenderaan itu bertulis ‘All types of fireworks including ‘Pop-Pop’ pellets are prohibited in Singapore’. Jika diterjemah ke bahasa Melayu, ia bermakna ‘Semua jenis bunga api termasuk jenis Pop Pop adalah dilarang di Singapura’.

Larangan itu begitu jelas bahawa segala jenis bunga api, baik yang besar yang mampu menerangi kegelapan malam dengan cahayanya yang berwarna-warni serta bunyi letupannya yang boleh memecahkan gegendang telinga tidak boleh berada di republik itu, apatah lagi untuk membakar atau meletupkannya.

Malah larangan itu juga termasuk bunga api jenis Pop Pop yang begitu popular di negara kita, iaitu sejenis bunga api mercun berbentuk kecil sebesar lebih kurang syiling 10 sen. Bunga api Pop Pop ini begitu banyak dijual di bazar Ramadan pada sepanjang Ramadan baru-baru ini.

Kerana bentuknya yang kecil dan dianggap tidak berbahaya, maka Pop Pop ini menjadi pilihan hampir setiap kanak-kanak yang bermain mercun dan bunga api pada beberapa malam terakhir Ramadan serta pada sepanjang minggu pertama Syawal. Saya pernah melihat kanak-kanak seumur tiga atau empat tahun begitu seronok bermain sambil melontar Pop Pop ini.

Berbalik kepada larangan pemilikan ‘semua jenis bunga api’ di kompleks imigresen Woodlands tadi, saya sebenarnya agak musykil kerana ia dipasang atau dipapar kepada mereka yang hendak menyeberang atau meninggalkan negara itu. Nampak seperti tiada apa-apa, tetapi bagi saya ia bukan sekadar amaran biasa tetapi juga adalah satu sindiran, terutama kepada mereka yang bukan rakyat Singapura.

Kalau saya rakyat Singapura, tafsiran saya adalah, jika hendak berseronok bermain bunga api atau membakar mercun sepuas-puasnya, lakukannyalah di negara seberang (Malaysia) kerana hampir tiada langsung larangan untuk membakar bunga api atau apa juga jenis mercun di negara ini.

Yang ada hanyalah larangan menjual beberapa jenis mercun, tetapi pelbagai jenis dan bentuk bunga api serta mercun dijual bebas di bazar Ramadan. Malah, di pejabat saya sendiri pun ada beberapa kakitangan syarikat yang menjualnya secara sembunyi-sembunyi.

Maka kerana itu jugalah rampasan mercun dan bunga api oleh pihak berkuasa, terutama kastam dan polis begitu tinggi sepanjang tahun ini. Selain itu, statistik ‘pakar mercun’ yang terdiri daripada kanak-kanak, remaja serta orang dewasa yang putus jari serta cedera parah akibat mercun juga adalah antara yang paling tinggi tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sebagai rakyat Malaysia pula, tafsiran saya terhadap amaran larangan di kompleks imigresen itu bermakna pemerintah di negara itu tidak berkompromi langsung dengan isu keselamatan dan kesejahteraan penduduknya. Walaupun lebih 75 peratus penduduknya adalah etnik Cina yang mempunyai budaya dan kepercayaan berkaitan mercun dan bunga api sejak lebih 2,000 tahun lalu, tetapi demi keselamatan, mereka tegas mengharamkannya.

Kita pula bagaimana? Ramai yang sanggup berhabis ratusan malah ribuan ringgit untuk membeli mercun dan bunga api seludup demi hendak memeriahkan malam Ramadan dan Syawal dengan bunyi letupan mercun yang membingitkan telinga serta melihat persembahan bunga api di malam hari.

Jika masyarakat purba di negara tembok besar China membakar mercun kerana mahu menghalau hantu dan raksasa yang mahu memusnahkan tanaman mereka, masyarakat Melayu moden pula membakar mercun untuk tujuan apa? Jika untuk tujuan yang sama, iaitu untuk menghalau syaitan, bukankah pada Ramadan semua syaitan dan iblis dirantai di dalam neraka?

Bukankah aneh apabila ramai orang kita seronok membakar mercun pada sepanjang sepuluh malam terakhir Ramadan, iaitu malam-malam yang sepatutnya kita mencari Lailatulqadar? Tetapi itulah hakikat segelintir anggota masyarakat kita.

Bagi saya, tindakan kerajaan Singapura mengharamkan segala jenis mercun dan bunga api di negara itu memberi banyak kebaikan baik untuk jangka pendek, mahupun bagi jangka panjang. Selain itu pembaziran wang, bahaya kebakaran, pencemaran udara dan bunyi serta sampah boleh dielakkan.

Lebih penting, kanak-kanak di republik itu tidak akan terdedah dengan budaya seronok bermain mercun dan bunga api yang bukan saja membazir, tetapi membahayakan diri sendiri.

Bagaimanapun saya terpaksa mengakui tanpa riuh-rendah bunyi mercun dan bunga api, sepanjang malam kedua saya berhari raya di flat adik ipar saya di negara jiran kita itu, terasa begitu sunyi dan bosan sekali...

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

© New Straits Times Press (M) Bhd