Helah makan diri

ISMAIL (kanan) memeriksa kereta yang menampal pelekat hitam pada huruf nombor pendaftaran elak dikesan perangkap had laju.
Zaid Salim

am@hmetro.com.my

Hulu Terengganu: Tindakan seorang lelaki menampal satu daripada tiga nombor pendaftaran kenderaannya menggunakan pelekat membawa padah apabila ditahan anggota polis trafik, semalam.

Difahamkan, lelaki berusia 34 tahun dari Melaka itu berbuat demikian bertujuan mengelak identiti nombor berkenaan dikesan perangkap had laju di lebuh raya.

Dia yang memandu Toyota Camry ditahan dalam pemeriksaan Op Perangkap Laju yang diadakan dalam tempoh Op Selamat 11 di Hentian Rawat dan Rehat (RnR) Ajil (menghala ke Kuala Lumpur), di sini, jam 11 pagi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Asisten Superintendan Ismail Man berkata, selain itu, ada pengguna sanggup merosakkan nombor pendaftaran dengan menyembur pewarna hitam pada nombor berkenaan bagi tujuan sama.

“Selain mengelak daripada identiti kenderaan dikesan perangkap had laju, taktik itu digunakan bagi tujuan jenayah lain,” katanya selepas mengetuai operasi berkenaan.

Operasi bermula jam 10.30 pagi hingga jam 1 tengah hari itu membabitkan kekuatan anggota dan pegawai seramai 23 orang termasuk satu pegawai dan tiga anggota Subtek Trafik Bukit Aman.

Beliau berkata, Op Selamat 11 diadakan selama dua minggu bermula 18 Jun hingga 2 Julai depan.

“Sehingga jam 1 tengah hari tadi (semalam), kontinjen polis Terengganu mengeluarkan 10,034 saman membabitkan pelbagai kesalahan termasuk saman had laju,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi hampir tiga jam itu, pihaknya mengeluarkan 211 saman pelbagai kesalahan kepada pengguna lebuh raya berkenaan.

Ismail berkata, daripada jumlah saman dikeluarkan, kesalahan membabitkan had laju paling tinggi iaitu 173 saman.

“Kesalahan lain sebanyak 38 saman membabitkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan sebanyak 31 saman, lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh, masing-masing dua saman dan satu saman bagi setiap kesalahan membabitkan tali pinggang keledar, cermin sisi dan ubah suai kenderaan,” katanya.

Ismail berkata, pihaknya tidak berkompromi dalam melakukan pemeriksaan dan memeriksa semua jenis kenderaan termasuk kenderaan mewah.

© New Straits Times Press (M) Bhd