Baju Melayu depan Kaabah

KAKITANGAN Prasarana menyambut Aidilfitri di Makkah.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

asmaini@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Terpisah ribuan kilometer daripada keluarga kerana tuntutan kerja tidak menghalang kira-kira 80 kakitangan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk menyambut Aidilfitri dengan penuh keceriaan di Makkah.

Meskipun jauh di sudut hati masing-masing berasa sayu kerana tidak dapat berkumpul bersama keluarga tersayang, demi tugas, semua itu diketepikan buat sementara.

Selain beberapa kakitangan tetap Prasarana di Arab Saudi, ada juga yang baru tiba di Makkah awal April lalu untuk ditugaskan sementara dengan operasi tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) yang bakal memulakan operasi tujuh hari sepanjang musim haji dari 29 Ogos hingga 4 September ini.

Begitupun, sambutan 1 Syawal mereka juga lebih istimewa kerana berpeluang menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjidilharam bersama ribuan umat Islam lain dari seluruh dunia.

Kumpulan staf Rapid Bus yang ditugaskan untuk mengendalikan pengurusan kawalan orang ramai di stesen untuk MMMSL di bawah seliaan Aminza Abdul Aziz misalnya berpakaian lengkap berbaju Melayu serta bersamping untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjidilharam.

“Kami memulakan perjalanan dari pangsapuri staf di kuarters Awali seawal jam 2 pagi dan ada yang datang dari kuarters staf di Depoh MMMSL di Arafah untuk ke Masjidilharam bagi memastikan mendapat tempat selesa untuk menunaikan solat dan melakukan ibadat lain.

“Ini kerana menjelang Subuh, kawasan Masjidilharam akan mulai sesak hingga ada yang terpaksa bersolat di kawasan padang lapang dan jalan raya di luar masjid.

“Usai solat, kebanyakan kakitangan akan kembali ke pangsapuri staf yang terletak di kawasan Awali iaitu kira-kira 10 kilometer dari Masjidilharam untuk menikmati jamuan Aidilfitri dengan pelbagai sajian enak seperti nasi tomato, ayam masak merah dan tidak ketinggalan menu istimewa rendang daging unta,” katanya.

Kakitangan Rapid Kuantan, Fadhli Harun berkata, perasaan sayu tetap ada terutama menjelang Aidilfitri namun mujur ada ramai rakan sekerja untuk meraikan bersama.

Kata Fadhli, dia banyak menghabiskan masa dengan ibadat di Masjidilharam bagi mengelakkan daripada terlalu memikirkan kerinduan kepada keluarga di kampung halaman.

“Siapa yang tidak sayu kerana berjauhan daripada keluarga, tetapi saya perlu menyempurnakan amanah tugas di Tanah Suci.

“Mujur keluarga memahami dan panggilan video pada pagi Aidilfitri menjadi pengubat rindu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd